Wednesday, May 26, 2010

Padanya ada segala

Sabar Dan Pemurah

Bunyi loceng yang bertalu-talu buat saya terjaga dari tidur. Dengan longlai saya melangkah ke pintu.

“Min?” soal saya.

“Cepatlah orang penat ni!” Terdengar satu suara yang cukup saya kenali. Lantas pintu saya buka.

“Tak boleh sabar langsung. Tak teladani Rasulullah langsung,” usik saya.

“Lin penatlah, kak. Sana sini lembap. Benci betul. Masuk bilik dulu.”

Gedegang! Pintu bilik dihempas. Masam betul muka. Mesti ada yang tak kena.

“Akak dah masak. Kalau nak makan, makanlah!” jerit saya.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka semula. Tersembul wajah Lin sambil tersenyum simpul.

“Jom makan, kak!”

“Eh.. Lapar ke sebab tu marah-marah?”

“Takdelah. Lin bengang dengan orang kat Gad tu. Mentang-mentanglah kita foreigner, tak cantik, tak layan langsung. Lepas tu ada makcik mintak sedekah tu, paksa-paksa orang pulak. Suka hatilah orang nak bagi tak,” bebel Lin panjang.

“Tak elok marah-marah. Muka pun macam singa dah. Tak cun langsung. Kalau laki tengok dah lama kena cerai. Lin ingat tak kisah Rasulullah dengan arab Badwi tu?”

“Entahlah, kak. Lupa!”

“Suatu hari tu, ketika Rasulullah berjalan bersama sahabat, ada sehelai selimut yang kasar tepinya di badan Baginda SAW. Selimut tersebut dapat dicapai oleh seorang Badwi lalu dia menariknya dengan kuat sampai meninggalkan kesan dekat leher Baginda, and then Badwi tu mintak Rasulullah bagi untuknya daripada harta Allah yang ada pada Baginda. Kalau Lin,apa reaksi Lin?”

“Mestilah bengang. Dahlah nak mintak barang orang. Main kasar pulak.”

“Itulah. Tapi Rasulullah lain, Rasulullah berpaling pada Badwi tu dan senyum. Lantas Baginda perintahkan orang Badwi tu diberi sesuatu. Muliakan akhlak Rasulullah!”

“Betul. Tapi kitakan manusia biasa je. Mana boleh comparekan kita ngn Rasulullah. Jomlah makan, Lin dah lapar.”

“Memanglah kita tak layak untuk dicomparekan ngan Baginda. Tapi kita perlu cuba untuk jadi sehebat baginda. Jom makan. Lin bacakan doa. Jangan gelojoh sangat. Pelan-pelan! Akak tahu Lin lapar.”

Gadis itu menurut patuh. Kami makan dalam senyap.

“Akak, hari ni biar Lin lah yang basuh pinggan. Akak mesti penat. Esok nak examkan, pergilah study.”

“Bagus, bagus.. Lin mamnu’ juga kan. Nanti masuk bilik akak, kita baca ma'thurat sama-sama.”

“Baik.”

Idola, Tawadhu’

Selesai saja mathurat dibaca, Lin berlalu ke biliknya. Saya mengambil Quran. Cuba mengulang hafal surah-surah, risau kalau tak diulang selalu, saya akan lupa. Selesai membaca al-Quran, saya menyambung mengulangkaji.

Lama saya tenggelam dalam pelajaran. Tak sedar masa berlalu. Terasa lenguh-lenguh badan. Nescafe saya teguk. Terasa mahu menjenguk Lin.

Pintu biliknya saya ketuk. Salam diberi.

“Waalaikumussalam. Masuklah, kak. Alahai sopannya, ketuk pintu pulak.”

“Apa salahnya. Sama-sama dapat pahala. Tengah buat apa?”

“Tengok ni, kak. Artis baru, Yuna. Cantik, pakai tudung. Suara pun best. Bolehlah buat idola,” ceritanya beriya.

“Oo.. Cantik. Tapi akak rasa Lin perlu cari orang lainlah buat idola.”

“Contohnya?”

“Rasululullah SAW,” jawab saya lancar.

“Alah, akak. Lin bukannya tak nak. Tapi tengoklah Lin macam mana. Jauh lagi tu nak capai akhlak Baginda.”

“Usahalah dulu! Akak pun bukannya perfect. Malulah kita mengaku umatnya, sedangkan tak mahu berakhlak seperti akhlak Baginda. Sedangkan barat pun mengagungkannya akhlaknya. Artis tu tawadhu' ke? Sentisa bercakap benar ke? Sabar ke?”

“Entahla, kak. Tak kenal pun lagi.”

“Ha.. Rasulullah dah cukup lengkap. Allah pun berfirman dalam surah al-Qalam, ayat 4. Dan bahawasanya Engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang mulia. Tak cukup lagi ke?”

“Kalau nak famous?”

“Rasulullah dah wafat berapa tahun, dik? Pernahkah sehari berlalu tanpa ada cerita tentang Baginda diungkit. Who is the most influential person in history? Rasulullah jugakkan.”

“Betullah, kak. Nanti Lin nak tukar sumber inspirasilah. Mahu jadi sehebat Baginda. Dah habis study ke kacau orang ni?” ujar Lin sambil tersenyum.

“Itu tandanya mahu menghalau ke?” gurau saya.

“Lin dah ngantuk. Esok kelas pukul 8.”

“Ok. Tidurlah. Kejut akak awal sikit kalau bangun. Nak mandi wajib. Boleh qiam sekali.”

“Insya Allah. Rajinnya qiam. Dah habis revise semua dah? Lin kalau musim examkan, buat yang wajib pun, alhamdulillah.”

“Masa kita pun milikNya, Lin. Ilmu pun milikNya. Kalau tamak dengan masa dan Dia tak bagi ilmu tu, kita tak boleh nak salahkanNya kan. Lagipun, hari-hari pun kita buat dosa. Ajal pun tak tau bila. Kalau Rasullullah sampai bengkak-bengkak kaki sebab qiam sedangkan Baginda insan yang dijanjikan syurga. Kita patutnya lagi perlu beribadah lebih dari itu. Tawadhu' kan Baginda. Lagi bersyukur. Kalau Lin, cikgu cakap awak kalau tak boleh jawab pun takpe, cikgu bagi awak markah penuh, camne?”

“Beraya sakanlah Lin, kak. Mahunya tidur, bangun and makan je.”

“Tulah bezanya kita dengan Baginda. Tidurlah Lin. Jangan lupa kejut akak. Misscall pun takpe. Baca doa tidur tu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Kasih Sayang

Pukul 4 pagi handset saya berbunyi. Lantas saya bangun. Lantas message saya taip,

- Tq. Akak bangun. Jzkk -

Mengantuk betul rasanya. Terasa mata mahu ditutup lagi. Telefon saya berbunyi lagi.

-Lin dah mandi wajib jugak. Akak jangan tipu Lin.he2. Bukak pintu. Nak suruh orang kejut, tapi kunci pintu pulak.-

Saya senyum. Lantas turun dari katil. Lin yang saya kenal memang cukup lembut hatinya, tapi cukup manja. Perlu diberi nasihat selalu. Perlu dibimbing dan diperhatikan. Pintu saya buka.

“Akak, Lin nak solat sama-sama boleh?”

“Ok. Tapi akak nak mandi dulu. Ambil masa sikit. Bacalah Quran dulu.”

Solat jemaah kami berlalu tenang. Damai sungguh di hati saya.

“Lin baca doa,”pinta saya.

“Tak naklah. Doa akak mustajab sikit.”

“Ada-ada je jawapannya.”

Doa saya panjatkan khusyuk. Perlahan Lin mengaminkan. Sampai saya berdoa agar Allah ampunkan dosa ibu bapa kami. Terdengar esakan Lin. Saya meneruskan doa.

“Amin..”

Saya pusing mengadap Lin. Gadis itu hanya tunduk. Dikuis-kuisnya sejadah dengan pandangan kosong. Air mata masih bertakung.

“Hmm.. Taknak share apa-apa dengan akak?”

Lin geleng. Saya senyum.

“Ada 5 minit lagi nak masuk subuh. Jangan tidur pulak.”

Lin senyum tawar. Saya hanya membisu. Tak mahu memaksa Lin bercerita. Dalam hati, saya cuba berzikir.

Azan subuh berbunyi. Lin bangun ke bilik air. Memperbaharui wudhuk barangkali. Tapi Lin memgambil masa yang cukup lama saya kira. Lantas pintu bilik air saya ketuk.

“Lin okay ke? Jangan berlama-lama sangat dalam toilet tu. Tempat syaitan.”

Pintu bilik air dibuka. Lin senyum tawar lagi.

“Jom solat, kak.”

Seperti biasa, saya menjadi imam. Kata Lin, dia belum layak. Hati saya sesak dengan rasa ingin tahu. Tapi saya pendamkan, tidak mahu memaksa.

Seusai solat, Lin peluk saya erat.

“Kenapa ni? Tiba-tiba emotional,” tanya saya.

“Akak sayang Lin?” tanyanya sayu.

Saya tergamam. Tak sangka akan diajukan soalan sebegitu.

“Mestilah sayang,” jawab saya ringkas.

“Sebab?”

“Sebab Lin adik yang baik.”

“Tapi akak pun akan tinggalkan Lin jugakkan. Macam mak ayah Lin.”

Terdiam saya seketika, tak tahu apakah respon terbaik yang patut saya berikan.

“Lin sayang akak kerana apa?”

“Sebab akak baik,” jawabnya sambil tersenyum.

“Akak sayang Lin Lillahi Taala. Lin rindu mak ayah Lin ke?”

Mengalir lagi air mata gadis itu. Lantas dia mengangguk lemah.

“Akak, kadang-kadang Lin rasa sempit sangat. Macam takde orang dah sayangkan Lin. Lin anak yatim piatu. Rasa macam tempat berpaut tu dah takde,” ujarnya lirih.

“Lin tahukan orang yang sayangkan kita tak pernah mati. Dia sentiasa di sini. In our heart.”

Tangis Lin makin kuat.

“Lin beruntung. Lin ada contoh yang baik untuk diikuti.”

“Siapa?”

“Rasulullah SAW.”

“Sebab?”

“Rasulullah pun anak yatim piatu. Malah Rasulullah yatim ketika usianya lagi muda. Tapi Rasulullah tak pernah rasa lemah. Malah Baginda berdikari, mengembala kambing, berniaga.. Dan akhirnya Baginda jadi lelaki paling hebat dalam sejarah dunia. Jadi kesayangan seluruh dunia.”

“Tapi kak, Rasulullah lain, semua orang sayangkan dia.”

“Rasulullah pun sayang kita. Sampai ke akhir hayatnya pun Rasululllah masih menyebut Ummati.. Ummati..”

Telepon bimbit Lin berbunyi. Lantas Lin bangun dan keluar dengan wajah berseri-seri.

“Siapa?”

“Kakak tanya khabar.”

“Ha.. Tengok. Ramai je orang sayangkan Lin. There will be someone who always remember you everyday. Percayalah!”

“Yelah kak. Gi study! Jangan layan sangat Lin ni. Good luck ye, kak. Takut tak sempat nak wish. Lin nak tidur balik.”

“Tidurlah lepas subuh ni. Tertutup pintu rezeki nanti.”

“Baik boss.”

Kebersihan, Malu, Martabat Wanita

Alhamdulillah. Jutaan kesyukuran saya panjatkan pada Ilahi. Akhirnya tamat juga exam final semester untuk tahun 3 ini. Banyak rancangan dirangka. Pada Allah saya bertawakkal sepenuh hati. Saya dah usahakan yang terbaik. Biarlah Allah yang menentukan. Bukankah Allah suka hamba-hambaNya yang bertawakkal?

Saya cukup sibuk. Sehingga saya jarang pulang ke rumah. Namun tidak saya lupakan bertanya khabar Lin, satu-satunya housemate saya. Alhamdulillah dia cukup memahami. Tapi hari ini saya rasa mahu menjenguk Lin di rumah.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Eh, akak. Senyap-senyap je masuk rumah.”

“Akak bawak kunci. Apasal sepah sangat ni?”

“Ala, kak. Banyak sangatlah assignment. Tak sempat nak kemas,” jawabnya manja.

“Kebersihan tu kan separuh dari iman. Rasulullah tak suka tau sepah-sepah ni. Tak segan ke kalau tiba-tiba Rasulullah datang?”

“Akak ni suka buat orang takut. Yelah, kejap lagi Lin kemas. Akak masak sarapan ek. Lama tak makan akak masak.”

“Akak seriuslah. Rasulullah sampai Baginda nak wafat pun Baginda minta Aisyah beruskan gigi Baginda dengan kayu siwak tau. Okay, pagi ni akak masak. Lin kemas depan ni.” jawab saya. Terdetik rasa takut dengan hak yang tidak tertunai terhadap housemate saya ini.

Saya memasak sarapan pagi untuk kami berdua. Selesai makan, Lin bersiap untuk ke kelas. Saya membuka laptop. Terasa ingin menitipkan email untuk family.

“Akak,” terdengar jeritan Lin sambil pintu bilik saya dikuak.

“Cantik tak baju ni?” tanyanya sambil baju barunya ditayang persis seorang model. Saya senyum.”

“Cantik.. Tapi..”

“Tapi ape kak? Lin nampak gemuk ke?”

“Takdelah. Akak rasa baju ni macam seksi sikitlah. Warna dia pun macam menyerlah sangat. Ni kalau jumpa Rasulullah tengah jalan nanti tak malu ke?”

“Akak ni. Tapi Lin pun rasa macam tu. Membazirlah kalau Lin tak pakai. Baju ni pun baru je beli. Membazir tu kan sifat syaitan.”

“Pandai ek menjawab. Tengok syaitan dah cucuk. Sebaik hiasan dunia kan wanita solehah. Wanita juga fitnah dunia yang besar. Lin nak jadi salah seorang wanita yang menyesatkan lelaki di sana ke?”

“Mestilah taknak, kak. Nauzubillahi min zalik. Tapi lin malulah. Asyik pakai baju kurung je. Macam kuno pulak.”

Saya senyum. Itu ayat biasa yang keluar dari remaja sekarang.

“Malu biarlah bertempat Lin. Rasulullah pun pemalu jugak. Bahkan pemalunya Baginda mengalahkan anak dara. Malu tu pun satu cabang dari cabang iman. Malu itu dengan kita jaga kepala dan pancaindera, jaga perut dan anggota, ingat mati, jasad yang hancur dan tinggalkan perhiasan dunia. Itulah baru dinamakan malu. Lin tak rasa bangga ke jadi wanita muslimah?”

“Mestilah bangga, kak.”

“So.. Buktikan! Islam datang bawa sinar baru pada wanita. Wanita yang dulunya ditindas dikembalikan haknya. Bahkan maruah wanita dijunjung. Sehingga khutbah terakhirnya, Rasulullah bersabda.. Wahai, saudara-saudaraku, benar kamu mempunyai hak tertentu terhadap isteri-isterimu,. Tetapi mereka juga mempunyai hak atas dirimu. Apabila mereka mematuhi hakmu, maka mereka memperoleh haknya untuk mendapat makanan dan pakaian secara layak. Perlakukanlah isteri-isterimu dengan baik dan bersikaplah manis terhadap mereka, kerana mereka adalah pendampingmu dan penolongmu yang setia. Dan adalah hakmu untuk melarang mereka berteman dengan orang-orang yang tidak kamu sukai, dan juga terlarang melakukan perzinaan. Hebatkan wanita di sisi Islam,” syarah saya panjang.

“Kalau Lin tak hargai pengiktirafan Islam pada wanita, samalah seperti Lin derhaka pada Allah ye kak? Pada Nabi..?”

“Betul tu. Pergilah siap. Nanti lambat pulak. Akak nak gi kelas sirah petang ni. Kalau Lin nak ikut, boleh jugak.”

“Nak. Akak tunggu eh. Lin balik dalam pukul dua.”

“Okay. InsyaAllah”

Cinta Yang Hadir

Gembira betul saya ke kelas tafaquh bersama Lin. Saya tengok gadis itu khusyuk mendengar. Lin hanya senyap sepanjang perjalanan pulang. Kepenatan mungkin. Saya pun tak mahu menganggu.

Malamnya saya meneruskan rutin harian biasa. Esok kelas saya bermula semula. Perlu menyusun jadual seteliti mungkin. Tiba-tiba handset saya berbunyi.

"1 message received."

-Akak mcm bz je. Lin tak berani nak kacau. Akak, Lin rasa Lin dah jatuh cinta.-

Terasa luruh jantung saya. Lin tak pernah bercerita tentang teman lelaki apalagi menunjukkan minat pada mana-mana lelaki. Saya berhenti membuat kerja. Beristighfar di dalam hati. Saya seorang da’ie. Dan saya rasa saya perlu kuat. Langkah saya atur tenang ke bilik Lin.

“Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam”

Lin sudah berkelubung di bawah selimut. Saya tengok matanya merah.

“Maaf Lin,akak busy sikit tadi. Kata jatuh cinta, apasal nangis?” tanya saya cuba berhemah.

Lin bangun, tersenyum lemah.

“Dia terlalu baik, kak. Saya rasa saya tak layak untuk bertemu dia pun.”

Saya panik. Cinta internetkah ini?

“Mana Lin tahu dia baik kalau Lin tak pernah jumpa?”

“Semua orang cakap dia baik, kak. Akhlak dia, tutur kata dia, pakaian dia, ibadat dia. Akak pun cakap macam tu.”

Saya tergamam.

“Akak kenal dia? Siapa dia ni, Lin?”

“Akak tak boleh teka ke?”

“Manalah akak mampu baca hati orang, dik.”

“Dia kekasih Allah, kak. Insan yang namanya bersemadi di naluri ramai orang hingga kini.”

Kali ini air mata saya menitis.

“Maksud Lin, Nabi Muhamad SAW?”

Lin mengangguk. Air mata saya turut mengalir sama. Alhamdulillah, Allah campakkan rasa kasih pada hambaNya yang cukup dhaif ini.

“Lin mahu sangat berjumpa Rasulullah, kak. Tapi Lin tahu, Lin tak layak. Lin bukannya orang yang soleh. Hamba yang patuh dan beriman. Darjat kami sangat berbeza, kak.”

“Lin, akak pun kadang-kadang rasa sempit bila fikir semua benda ni. Tapi akak yakin dengan janji Allah. Bukankah Allah berjanji kita akan bersama dengan orang yang kita cintai? Rasulullah sebenarnya dah lama rindukan kita sebelum kita rindukan Baginda.”

“Maksud akak?”

“Akak teringat satu kisah ketika Rasulullah dalam perjalanan pulang dari Haji Wada’. Baginda menangis.

Sahabat pun bertanya: "Kenapa kamu menangis, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Aku merindui saudaraku.”

Sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: "Kamu semua bukan saudaraku tetapi sahabatku. Saudaraku ialah mereka yang datang selepasku, beriman kepadaku walaupun tidak pernah melihatku. Aku merindui mereka. Kerana itulah aku menangis”.

"Betapa rindunya Rasulullah pada kita.. Dan ketika Rasulullah hampir wafat, Rasulullah melihat kegelisahan di wajah sahabat. Lantas Baginda bersabda, “Wahai sahabatku, sesungguhnya janji kamu bersama aku bukanlah di dunia tetapi di telaga Kauthar. Demi Allah, aku seperti dapat melihatnya.”

Pecah lagi tangisan gadis itu. Dan malam itu, lirih dia meminta tidur di bilik saya. Malamnya Lin bangun qiamullail. Tersentuh hati saya mendengar esak tangisnya. Betapa indahnya rasa cinta yang merubah dirinya. Moga-moga rasa cinta itu terus kekal. Rasa cinta yang membawa kita bertemu Tuhannya. Alhamdulillah.. Saya syukur Lillahi Taala.

Hari berlalu. Lin bertambah baik akhlaknya, ibadatnya. Cinta itu betul-betul merubahnya. Lin yang dulu gadis biasa kini menjadi luar biasa, dan saya cukup bersyukur. Alhamdulillah. Rindu pada Rasulullah tak akan pernah surut. Dan pertemuan yang abadi itu cukup saya rindui. Sering saya rasa lemah, sering rasa diri cukup hina, tapi saya tepis perasaan itu, kerana saya yakin dengan janjiNya.

Ya Allah

Sering aku mengaduh penat

Sering aku lupa untuk bertaubat

Sedangkan ampunanMu, kasihMu tagihan diri

Ya Rabbi

RahmatMu ku junjung

KasihMu ku ratapi

Tuhan

Pemilik hatiku

Lemah aku merayu

Hadirkanlah rasa cintaku pada kekasihMu, Tuhan

Tuhan

Betapa diri kerdil

Cinta yang terpaut mungkinkah berbalas?

Ya Tuhan

Kasihku tak sehebat para Sahabat

Pengorbananku untuk kekasihMu sedikit cuma

Sayang dan rinduku tak seteguh mereka

Ya Allah

Ingin aku jadi sesetia Abu Bakr

Ingin aku disayangi seperti Fatimah

Ingin aku berkorban demi kekasihMu seperti Nusaibah

Ya Tuhan

Betapa aku rindu untuk bertemu kekasihMu

Menatap wajah yang mulia itu

Ya Rabbi

Temukan aku dengan kekasihMu

Leraikanlah rindu ini

Hadirkan rasa cinta dalam diri

Yang sentiasa mekar

Tak pernah pudar

Tuhan

Hanya padaMu aku merayu

Kerana Kau pemilik hatiku.

Tuesday, May 11, 2010

Tuesday, May 4, 2010

Tanggungjawab kita terhadap orang lain

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Saudara-saudaraku dan kekasih-kekasihku di jalan Allah,

Salam sejahera buat kamu, salam daripada Allah, rahmat serta keberkatan-Nya. Bicara hatiku kali ini mengenai tanggungjawab kita terhadap orang lain. Ya, kita memikul resah derita umat ini. Permasalahan yang mereka hadapi mesti diletakkan di bawah pemerhatian kita. Apakah caranya untuk mengatasi segala permasalahan ini?

Inilah sebenarnya peranan kita. Kita berpegang kepada sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "إنكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق". Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menguasai dan memenuhi kehendak manusia dengan harta kamu, tetapi kamu boleh menguasai dan memenuhi kehendak mereka dengan kemanisan wajahmu dan keindahan akhlakmu”

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini ialah masalah ekonomi. Sebagaimana kamu ketahui, Rab’ei bin ‘Aamir رضي الله عنه ketika beliau menyimpulkan misi kehadirannya di Parsi telah berkata: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada hamba (makhluk) kepada penyembahan kepada Tuhan sekelian hamba, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Bahagian kedua daripada ungkapannya itulah menjadi tumpuan saya di dalam bicara ini. Ungkapan yang ringkas itu sangat penting dan bermakna sekali. Ini kerana kita ingin memimpin tangan manusia membawa mereka keluar dari kesempitan dunia, meluaskan kepada mereka dunia yang sempit ini.

Sesungguhnya dunia kini sangat sempit buat mereka kerana banyaknya masalah yang mereka hadapi. Dan dunia yang sempit itu menyempitkan jiwa-jiwa mereka yang lapang. Jalan keluarnya berada di tangan-tangan mereka yang membawa cahaya kebenaran, yang membawa sinar Islam. Islam mengemukakan penyelesaian yang menyeluruh dari akar umbi segala permasalahan manusia, bukan sahaja masalah umat Islam semata-mata.

Soalanya, bagaimana ia akan terlaksana? Bagaimana hendak keluar dari kesempitan dunia kepada keluasannya? Bagaimana dunia ini dapat diluaskan? Caranya ialah dengan membuka jendela akhirat. Bayangkan kamu berada di dalam sebuah bilik yang sempit, kemudian kamu membuka tingkap yang mengadap ke arah taman yang luas saujana. Ketika itu pasti kamu tidak akan merasai bilik yang kamu diami itu sempit.

Begitulah dunia ini menjadi luas jika kita melihat dari celah-celahnya alam akhirat. Seandainya mereka berkata, kata-kata kamu ini bukan penyelesai masalah! Ayuh bersamaku! Kita selesaikan masalah!Sesungguhnya pokok pangkal penyelesaian segala masalah ialah kembali ke pangkal iman dalam semua urusan.

Sebagai contoh, lihat simen. Simen yang digunakan untuk menguat seluruh bangunan adalah satu sahaja. Begitulah untuk menyelesaikan semua masalah manusia mesti kembali kepada asas yang satu, iaitu iman. Di dalamnya teradun nilai-nilai akhlak yang menjadi teras kepada penyelesaian semua masalah. Tanpa asas ini dan adunan nilai-nilainya yang murni bangunan akan runtuh berkecai walau setinggimanapun ia didirikan.

Di atas asas inilah, dan dengan diperkukuhkan oleh simen terbinalah bangunan dengan berbagai-bagai reka bentuk yang berbeza. Apabila kita kembali kepada asas iman dan kepercayaan kepada Tuhan, di sana terdapat nilai-nilai murni yang disepakati hatta di kalangan penganut agama bukan Islam. Jadi, bagaimana masalah ekonomi dapat diatasi?

Jika kita telusuri kisah Nabi Musa عليه السلام salah seorang Nabi Bani Israel yang paling masyhur, kita dapati kisah ini mengemukakan contoh seorang lelaki, seorang manusia yang sedang berhadapan dengan keadaan yang amat kritikal. Beliau lari dari musuh yang sedang memburu untuk membunuhnya. Lari sehelai sepinggang tanpa bekalan, tanpa sebarang persediaan.

Perhatikan apa yang dikisahkan oleh al-Quran tentang lelaki ini: Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Al-Qasas:20- 21)

Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya)” Kata-kata ini menggambarkan keadaan Musa yang dalam ketakutan, kelaparan, kesempitan dalam serba serbi. Bayangkan betapa jauhnya perjalanan yang telah dilalui!

Dari Mesir, melintasi negeri Syam hingga tiba di Madyan. Ratusan batu diredahi tanpa harta, tanpa kenderaan, makanan, minuman dan pakaian untuk disalin. Berjalan dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidaktentuan.

Mari kita lihat lelaki ini, seorang insan yang berada dalam suasana yang segenting itu, kepayahan yang tidak boleh kita gambarkan lebih dahsyat daripada itu. Tiba-tiba dia bertemu dengan dua orang gadis remaja yang memerlukan pertolongan. Dua gadis remaja ini memiliki segala-galanya sedang dia seorang pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Dua gadis remaja itu mempunyai keluarga, ada ayah, rumah, makanan, minuman, binatang ternakan yang pastinya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk keperluan hidup mereka sekeluarga atau lebih daripada itu.

Yang mereka perlukan ketika itu hanya pertolongan seorang lelaki yang memiliki dua ciri. Apakah dua ciri itu? Ciri pertama ialah keazaman untuk menolong orang lain dan keinginan untuk menjadi seorang yang mulia, istimewa, bermaruah dan perasaan ‘izzah kerana dapat membantu orang lain seperti yang digambarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia, mereka cintakan kebaikan dan kebaikan cinta kepada mereka”.

Ciri yang kedua pula adalah kekuatan tubuh badan yang membolehkan dia menolong dua orang gadis tadi.Bagaikan saya dapat menggambarkan bahawa Sayyidina Musa tidak memiliki apa-apa di dunia ini kecuali dua ciri tadi. Dalam pada itu dia bertemu dengan dua orang gadis yang berhajat kepada dua ciri itu yang merupakan itu sahajalah yang dimiliki oleh Musa عليه السلام .

Musa tidak lokek untuk memberikan dua ciri yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya. Himmahnya yang tinggi, keazamannya yang kental, ketokohan dan kelelakian yang merupakan ciri dalamannya di samping kekuatan dan keperkasaan tubuh badan yang merupakan ciri luarannya ( قوي أمين ). Dengan sifat mulia dalaman dan luaran yang dianugerahi oleh Allah عزوجل kepadanya dia pergi menghulurkan bantuan kepada dua orang gadis yang memerlukan pertolongannya kerana mengharapkan redha Allah. Selesailah perkara. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya.

Cuba bayangkan, seandainya Nabi Musa عليه السلام hanya sibuk memikirkan masalah dirinya, mungkin dia akan berkata, aku lebih memerlukan pertolongan daripada mereka berdua. Untuk apa aku harus sibukkan diriku fikir masalah orang lain? Masalah aku sudah tak tertanggung banyaknya! Bayangkan kalau itulah cara fikir Nabi Musa, adakah akan terbuka jalan penyelesaian sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran?

Mari kita perhatikan. Sesungguhnya semua masalah telah berjaya diselesaikan kerana tindakan bijaknya membantu golongan yang memerlukan. Ketika dia memberikan apa yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya, dia mendapat penghormatan dari Allah عزوجل. Dengan pertolongan yang ikhlas mencari keredhaan Allah terhurai semua masalah yang dihadapinya. Dia dapat berkahwin dengan seorang gadis mulia lagi suci, dapat tempat tinggal yang aman, makanan, minuman dan pendapatan yang lumayan serta aman dari ketakutan dan kegusaran dikejar musuh. Bukankah semua masalahnya telah selesai?

Ya! Telah selesai! Ini kerana dia tidak hanya melihat ke dalam dirinya, tinggal tenggelam dalam memikirkan permasalahan diri sendiri semata-mata. Sebaliknya dia sentiasa melangkahi derita yang ditanggungi dan mencari insan lain yang memerlukan pertolongannya walaupun apa yang mereka perlukan itu, itu sajalah miliknya sedangkan orang yang berhajat itu memiliki segala-gala yang tidak ada padanya.

Kita lihat pula Sayyidina Yusuf عليه السلام. Dia terperosok di dalam penjara kerana dizalimi dan sangat memerlukan pertolongan. Dia melangkahi deritanya dan mencari derita orang lain untuk ditolongnya. Oleh kerana yang dilakukan adalah ikhlas mencari keredhaan Allah, datanglah pertolongan- Nya. Dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya, pertemuan dengan saudara dan ayah bondanya.

Semua mimpi di zaman kecilnya terlaksana menjadi nyata. Semua permaslahan ini apabila kita lihat dengan kacamata iman, kita dapati bahawa sesiapa yang Allah عزوجل muliakan dengan melangkahi derita sendiri, melupai keperluan dan kepentingan diri sendiri, kemudian mencari keperluan orang lain untuk ditolongi, maka Allah عزوجل akan menyelesaikan permasalahan dan keperluannya.

Inilah titik permulaan berlandaskan iman. Di sinilah kita temui jalan keluar. Seungguhnya Allah akan memuliakan orang yang memberi kerana mencari keredhaan-Nya. Dia yang akan selesaikan masalah yang dihadapi. Dengan itu kita akan dapat keluar dan mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Dalam bicara lain, kita akan kupas penyelesaian dari sudut kebendaan bagi mengatasi masalah kebendaan ini. Kita akan sempurnakan binaan di atas permukaan bumi setelah kita tanam kukuh-kukuh asas keimanan di dalam diri.

Followers

About Me

My photo
Saya seorang guru yang sangat meminati bidang perikanan dan sukakan laut.