Thursday, September 17, 2009

Senyum sebagai lambang gembira dan ketenangan hati

Perasaan gembira menunjukkan ketenangan hati. Hati yang tenang ialah satu perkara yang sangat penting.Tidak mungkin ada seorang manusia walau apa pun latar belakang agama,budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara penting bagi seseorang manusia.Mungkin mereka berbeza dari segi untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang sangat kritikal bagi setiap insan.

Keutuhan atau kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda.Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada suatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapai kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Allah paling baik, dan disana Allah tetap berperanan di dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun langit. Dan Allah bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini serta apa yang ada di langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik mutlak Allah yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan sunnatullah-Nya.

Seorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Allah ialah Allah dan aku ialah aku; sama sekali tidak sama dengan seorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Allah ialah satu-satunya Tuhan, aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi seorang hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Agung. Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada disana satu Kudrat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta yang senantiasa berkata,Wahai hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan kamu! Tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini adalah antara aku dan kemampuanku!

Seorang anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu bapanya semasa membeli belah di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi 'ketenteraman dan hatinyalah' yang tercedera. Dan kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantara jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata. "Dah, jangan menangis sikit je tu!, nanti ibu sapukan ubat!"

Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka dilututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa 'sakit' pada jiwa dan emosinya telahpun hilang diganti dengan rasa gembira, kerana anak itu yakin ibunya memahami 'penderitaannya' dan ibunya 'mampu' mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Ini menunjukkan, kegembiraan hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa 'ajaib 'yang sangat diperlukan oleh manusia.

Adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di sana adanya satu 'kuasa' yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada. Seorang yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian-IQ nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ.

Tetapi seorang yang mantap EQ-nya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf dan hanya bekerja di sawah bendang misalnya, tetapi denga ketenangan jiwa yang dimilikinya ia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan seringkali terlontar daripada patah bicaranya, perkataan yang bersifat 'teraputik' yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.

Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap man pun IQ-nya berada. Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan satu prinsip,

Firmannya yang bermaksud:

"Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang?"

(Ar-Ra'd:28)

berzikir disini membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingati Allah, merasakan kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin seseorang yang melihat Allah itu - dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu hampir dengan dirinya masih boleh tidak merasa tidak tenteram dan aman?

Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan nur kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi:

Firman Allah yang bermaksud:

'Dialah yang menurunkan 'sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman!"

(Al Fath : 4)

Erti sakinah ialah ketenangan yang tetap. Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada alat-alat yang membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati ini, seperti amalan zikrullah , solat, tafakkur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi. Semoga hati kita tidak 'buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal maha Pencipta!


Followers

About Me

My photo
Saya seorang guru yang sangat meminati bidang perikanan dan sukakan laut.