Monday, June 21, 2010

Pembetulan : Bukan J.I tapi IKRAM...

kk

Ucaptama Sempena Majlis Pelancaran IKRAM
Melaksanakan Misi, Menjayakan Visi

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين أما بعد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tuan-tuan, puan-puan serta hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Sudah lebih 52 tahun kita meninggalkan era penjajahan terhadap negara ini. Berbagai-bagai peristiwa penting telah terjadi; sudah 12 kali pilihan raya berlangsung dan pemimpin silih berganti. Namun keadaan kita hari ini masih tidak menepati sasaran hidup masyarakat Islam yang maju dan berjaya. Kita masih tidak ditadbir oleh kepemimpinan Islam yang berwibawa. Kita masih tidak dinaungi peraturan hidup atau syariah yang adil yang mengatur urusan negara dan kehidupan rakyat sepenuhnya tanpa pengecualian.

Di peringkat global, dunia masih lagi berada dalam genggaman kuasa-kuasa besar, bekas-bekas penjajah, masih lagi diancam penjajahan bentuk baru, peperangan, perhambaan, penindasan, pemerasan, perkauman yang sempit, kemiskinan, kelaparan, kejahilan dan pelbagai bentuk kezaliman. Majoriti penduduk dunia - sebahagian besarnya terdiri daripada umat Islam yang mencecah angka 1.6 bilion - masih lagi tidak dapat keluar dari berbagai-bagai penderitaan kehidupan yang membelenggu mereka sejak sekian lama. Perjalanan dunia masih lagi dipenuhi kemelut, bencana dan krisis yang silih berganti. Dunia masih lagi dikuasai orde lama dan baru yang tidak mampu sama sekali menegakkan keadilan untuk manusia sejagat.

Firman Allah s.w.t:

ظهر الفساد فى البر والبحر بما كسبت أيدى الناس ليديقهم بعض الدى عملوا لعلهم يرجعون

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia. Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Al-Rum (Rom) 30:41

Peristiwa kejatuhan khilafah Othmaniah pada tahun 1924 merupakan satu tragedi pahit dalam sejarah ummah. Kita kehilangan payung yang selama ini memayungi ummah di seluruh dunia. Selepas kejatuhannya, ummah berhadapan dengan penjajahan dan penindasan yang berleluasa, alam Islam dipecah-pecahkan menjadi berbagai-bagai negara yang lemah, berbeza sistem, pemimpinnya terdiri daripada golongan yang memuja barat atau yang tidak punya kelayakan, umat dilumpuhkan dan hak-hak mereka dinafikan. Palestin bertukar tangan. Israel didirikan di tengah-tengah alam Islam. Kewujudannya ibarat duri dalam daging, sebagai pangkalan perang musuh, betul-betul di jantung alam Islam yang telah memisahkan ummah di benua Afrika daripada saudara-saudaranya di benua Asia.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Dalam hidup ini, kita sebagai umat Islam diberi tanggungjawab memakmurkan kehidupan, dunia dan alam maya. Kita mesti bertindak sebagai khalifah atau wakil Allah s.w.t. di muka bumi dengan membuat amal-amal soleh sebagai penjelmaan ubudiah dan ibadah kita semua kepada Zat Pencipta Yang Esa. Dialah yang telah mencipta kita semua dengan maksud yang jelas iaitu melaksanakan misi hidup yang mulia dan menjayakan visi yang agung.

Kita menyedari situasi negara dan dunia masa kini, dan kita juga menyedari tanggungjawab kita sebagai umat Islam yang berperanan untuk menegakkan kebaikan dan kebenaran, membasmi kerosakan dan kebatilan. Kita menyedari keterbatasan ummah dewasa ini untuk berperanan sebaik-baiknya sesudah ketiadaan khilafah. Justeru, kita seperti juga gerakan-gerakan Islam yang tumbuh di serata alam Islam telah mengambil tanggungjawab memulakan usaha-usaha dakwah dengan membangunkan satu barisan pelopor atau perintis. Jiwa-jiwa ini dipersiapkan dan mereka juga mempersiapkan diri sendiri dengan pelbagai keupayaan, kemahiran, kepakaran dan kebijaksanaan untuk mewujudkan arus perdana atau gelombang besar yang kita harapkan akan merubah perjalanan sejarah negara dan dunia.

Usaha-usaha daripada pihak kita tersebut telah berlangsung secara terus-menerus beberapa tahun sebelum ini. Ada masanya kita berhadapan dengan ujian-ujian yang getir, tetapi perlindungan dan taufik Allah s.w.t. sepanjang perjalanan usaha-usaha itu berlangsung akhirnya membuahkan berbagai-bagai wadah dan kejayaan. Kesemuanya pada detik ini telah kita gabungkan untuk melahirkan satu wahana induk dalam bentuk wahana massa organisasi terbuka bagi mendepani keperluan perjuangan Islam masa depan yang lebih mencabar. Wahana itu kita namakan Pertubuhan IKRAM Malaysia atau singkatannya IKRAM.

Kelahiran IKRAM dengan izin Alah s.w.t. merupakan satu sunatullah dan kehendak-Nya jua. Dalam situasi apa pun akan ada satu golongan yang mengangkat panji Islam, panji tauhid, menegakkan kebenaran, walaupun terpaksa melawan arus di dalam negara atau di persada dunia. Akan lahir seorang reformis, bersamanya satu golongan yang mencintai Allah dan dicintai-Nya, lembut terhadap orang-orang mukmin, tegas terhadap orang-orang kafir, berjuang di jalan-Nya tanpa rasa takut akan kecaman manusia.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Wahana IKRAM ini, dengan izin Allah s.w.t. akan membawa kita keluar ke satu suasana baru. Kemunculannya menjadikan kita berada di medan terbuka, berada di mihwar ijtima’i wa sha’bi, yakni tahap bersama-sama massa, masyarakat dan rakyat. Kita terus memasuki era penglibatan bersama masyarakat umum, menghadapi berbagai-bagai cabaran, yang kesemuanya menuntut kita semua terus-menerus mempersiapkan diri dengan keupayaan-keupayaan yang berganda untuk menanganinya dengan sebaik-baiknya.

IKRAM muncul pada tahap ini bagi tujuan memperluas dakwah, melebarkan pengaruh Islam, membangunkan dukungan dan wala’ (kesetiaan) ummah kepada Islam dan kepemimpinannya, berdiri tegak sebagai rujukan ummah serta memacu pembaharuan dan perubahan.

IKRAM akan berusaha untuk mengarusperdanakan Islam, menonjolkan tokoh-tokoh, memaksimumkan guna tenaga ahli ke medan-medan dan relung-relung amal yang berbagai-bagai, mengangkat kewibawaan kepemimpinan IKRAM untuk memimpin ummah, membangunkan institusi-institusi masyarakat madani yang akan mengemukakan pelbagai perkhidmatan dan unjuran penyelesaian kepada masalah-masalah masyarakat, ummah dan manusia.

IKRAM akan berada di pusat aksi dan operasi, at the centre stage, mengarusperdanakan Islam dalam negara, membawa agenda perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan rakyat, memacu perjuangan, menyatukan ummah, membangunkan kekuatan, menjana kemajuan, menyebar kemakmuran, mengadun manusia, menyusun barisan, mewarnai medan, bersama-sama atau bersendirian mencapai matlamat-matlamat Islam.

Penubuhan IKRAM membawa pengertian kemunculan satu gerakan Islam yang serius, bersungguh-sungguh untuk membawa Islam kembali mewarnai perjalanan negara dan dunia. IKRAM bertekad untuk melaksanakan misi Islam yang sempurna sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. IKRAM diwujudkan untuk memenangkan agenda ummah dan Islam.

Agenda IKRAM ialah membuat perubahan dan pembaharuan, perubahan perjalanan sejarah, perubahan realiti sedia ada kepada realiti penguasaan Islam kembali, ummah menjadi ummah yang terbaik, negara menjadi negara termaju dan makmur, dunia menjadi aman dan sejahtera, tamadun Islam kembali gemilang.Kita bertekad untuk membangunkan wahana IKRAM yang amat relevan dan kompeten, memiliki daya juang tahap tinggi untuk memintas cabaran dan merentas jarak perjalanan perjuangan dengan cepat dan cekap.

Kita perlu terjun ke medan bagi mewujudkan fenomena IKRAM agar ia dirasai, keperluan terhadapnya diakui, ia sebagai wadah kunci yang menjadi rujukan, wadah yang meyakinkan, membuka ufuk-ufuk harapan, kemuliaan, kesatuan dan keagungan kepada ummah. Ia perlu memperoleh dukungan golongan intelektual dan profesional, pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, swasta dan awam, dalam dan luar negara, pegawai-pegawai pentadbiran awam, menaungi golongan pekerja firma-firma perusahaan dan kilang-kilang perusahaan, kalangan penghuni taman-taman perumahan, golongan pemuda dan wanita di kawasan kota dan desa.

IKRAM perlu memperluas dakwah ke arah seluruh komposisi masyarakat Malaysia, orang-orang Islam yang lemah dan bukan Islam yang tidak pernah mendengar risalah Islam dari perspektif yang benar dan sempurna bagi tujuan membawa mereka mengimani Islam, atau membersihkan mereka daripada kekeliruan atau perasangka terhadapnya atau sekurang-kurangnya bagi melepaskan tanggungjawab kita di hadapan Allah s.w.t. pada kemudian hari kelak.

Pada ketika usaha seperti ini sedang berjalan lancar, kita akan diuji. Jangan berasa janggal kerana ini adalah sunnah dakwah kepada Allah s.w.t. Akan ada golongan daripada kalangan umat atau dari luar lingkungan ummah yang akan cuba memerangi kita, menabur fitnah terhadap IKRAM dan kepimpinannya, cuba membunuh IKRAM dari depan dan belakang, dari luar dan dalam agar IKRAM lumpuh, terpukul dengan pukulan maut.

Semoga organisasi IKRAM dengan izin Allah s.w.t. akan muncul dan selamat keluar dari semua ujian yang mendepani perjalanannya dengan lebih kuat, bersatu, tampil memacu serta menjulang perjuangan Islam dengan gagah dan berkesan. Agensi-agensi dan institusi-institusi IKRAM pula akan melengkapkan pacuan ke semua sasaran perjuangan dengan cekap dan tepat. Ahli-ahli IKRAM di semua tahap akan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik-baiknya, bil itqan, semuanya mara sebagai tentera fikrah, pembina ummah, negara dan tamadun.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Pada tahap ini, IKRAM perlu dikembangkan bersungguh-sungguh sehingga mengambil kedudukan atau profil berikut:

1.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang sempurna, didukung oleh satu golongan ummah yang memperjuangkan Islam supaya kembali gemilang. Berazamlah menjadi golongan yang disebut-sebut namanya dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabawi sebagai ta’ifah atau kumpulan yang menegakkan kebenaran, sebagai satu kaum yang dicintai Allah dan Allah mencintai-Nya, sebagai sebaik-baik ummah lantaran berfungsi menertibkan masyarakat, sebagai contoh dan ikutan kepada manusia sejagat, sebagai ansar Allah s.w.t. di muka bumi, dan sebagai golongan al-muhajirin dan al-ansar kepada Muhammad s.a.w. pada setiap zaman.
2.

Sebagai wahana perjuangan yang kuat, mampu memperkasa ummah dan memenangkan Islam di dalam negara dan di persada dunia, menangani rintangan dan merebut peluang, mampu menyeberangi sempadan nasional, merentasi benua walaupun bertapak di Malaysia, mampu bersama-sama menyatukan ummah dan memperkasakannya.
3.

Sebagai NGO massa - tanzim terbuka yang akan membuka ruang kepada engagement yang konstruktif bagi tujuan membina bukan meruntuhkan, menyatukan bukan memecahkan, menguatkan bukan melemahkan, membangunkan perkongsian usaha dalam kalangan barisan pejuang-pejuang Islam dan masyarakat Islam yang turut terlibat dalam memperjuangkan agenda Islam di peringkat negara dan dunia, satu ruang yang menuntut sikap keterbukaan, berlapang dada, kesabaran, kepekaan dan kepedulian serta kemahiran berbahasa.

Sebagai wahana perjuangan yang berpegang teguh kepada minhaj taghyir Nabi Muhammad s.a.w., “Perubahan sejarah menerusi perubahan manusia” berasaskan ayat-ayat al-Quran berikut:

a. ان الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."

Al-Ra'd (Guruh) 13 :11

b. بأن الله لم يك مغيرا نعمة أنعمها على قوم حتى يغيروا ما بأنفسهم وأن الله سميع عليم ذلك

”Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah diberikan-Nya kepada sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Al-Anfal (Rampasan perang) 8:53

Minhaj taghyir menuntut kewujudan perkara-perkara berikut:

a. Qiadah al-Rasyidah

b. Pembangunan saf jamaah Islamiah, al-qafilah, golongan pelopor atau perintis yang akan mempelopori dan mendukung perjuangan

c. Doktrin perjuangan atau al-kitab

d. Pemanfaatan peluang yang terbuka sewaktu persiapan sudah memadai.
4.

Sebagai wahana perjuangan yang melaksanakan kitaran amal dan aktiviti perjuangan yang sempurna - dakwah, tarbiah, tanzim dan jihad; memperjuangkan visi dan misi Islam, membawa agenda taghyir dan takrir - agenda perubahan dan pemantapan kebaikan sedia ada; berusaha membina ummah, negara dan tamadun dengan perkara-perkara berikut:

a. Melaksanakan masyru’ nahdah al-ummah (projek pembangunan ummah)

b. I’la’ kalimah al-tauhid (memenangkan kalimah tauhid) di persada dunia

c. Memacu dakwah al-’alamin (dakwah manusia sejagat)
5.

Sebagai wahana yang terlibat sama secara langsung menjayakan rencana Islam peringkat ’alami (global) bagi tujuan-tujuan berikut:

a. Menegakkan kembali Khilafah al-Rasyidah

b. Menegakkan orde Islam untuk dunia sejagat, menegakkan keadilan, membela golongan mustad’afin

c. Berusaha menyelamatkan manusia daripada berbagai-bagai malapetaka - kesesatan, krisis-krisis kehidupan, bencana alam dan seksaan akhirat
6.

Memilih jalan damai dan berusaha untuk meyakinkan manusia menerusi kebijaksanaan dan dialog serta tidak memaksa atau menggunakan pendekatan keras atau perang. IKRAM menentang sebarang bentuk keganasan dan kekerasan.
7.

Membangunkan institusi-institusi masyarakat madani, pusat-pusat kecemerlangan serta agensi-agensi yang menaburkan perkhidmatan dan bakti kepada masyarakat, rakyat dan manusia.
8.

Mengusahakan kebaikan untuk semua, manusia dan alam semesta, mesra terhadap semua bangsa dan semua kaum, toleransi terhadap semua agama.
9.

Bergerak bertahap-tahap, menerusi pelbagai fasa dan relung untuk menegakkan kebenaran, kebaikan dan keadilan, memerangi sebaliknya, bergerak mengikut putaran prinsip dan nilai-nilai hidup yang mulia.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Apakah kelainan IKRAM daripada pertubuhan-pertubuhan sedia ada?

Kelainan IKRAM terletak pada adunan atau sibghahnya, adunan organisasinya, adunan kerangka perundangannya, adunan kepemimpinan dan ahlinya, adunan metode perjuangannya, adunan jaringannya, adunan strateginya dan adunan wawasan serta misinya.

Ia adalah sebuah organisasi yang diikat dengan ikatan iman, persaudaraan dan perjuangan berasaskan kepentingan Islam, ummah dan manusia sejagat, mengambil adunan rabbaniah, mematuhi syariah, mengikat kesetiaan dan janji dengan Allah s.w.t.

Kepimpinan dan ahlinya terdiri daripada hamba-hamba Allah s.w.t yang beriman, yang menyembah-Nya (’abid) dan yang menyeru kepada agama-Nya (da’i), yang berusaha menegakkan hukum-hukum syariah dan mengangkat syiar-syiarnya, membangunkan kemuliaan, menabur budi dan bakti, mesra dengan semua bangsa, toleransi dengan semua agama, membina tamadun dan membudayakan diri dengan akhlak yang mulia yang memancarkan keindahan dalam kehidupan.

Metode perjuangannya adalah metode perjuangan rasul yang mulia, Muhammad s.a.w., metode yang telah dibuktikan sejarah amat tepat, cepat dan berkesan dalam merubah perjalanan sejarah dan membangunkan realiti baru Islam yang gemilang.

Adunan jaringannya adalah semua manusia, melintasi batas kaum dan bangsa, merentasi benua, daratan dan lautan, alam materi dan alam maya, malaikat, jin dan Pencipta, jaringan mesra, bersatu dengan alam semesta serta patuh kepada arahan-arahan Pencipta Yang Esa.

Strateginya adalah menggerakkan gabungan sebab-sebab langit dan bumi, usaha-usaha manusiawi dan bantuan Allah s.w.t, memecahkan kebuntuan di muka bumi, membangunkan realiti baru, sejarah baru, kemenangan Islam, kedaulatan syariah dan sistem-sistemnya. Ia terdiri daripada berbagai-bagai gabungan amal - bacaan yang tepat, kajian yang menyeluruh, rujukan kepakaran, langkah-langkah yang berhati-hati, bertahap-tahap, kerja keras, amal berjemaah, amal tersusun, persiapan yang cukup, doa dan munajat, kesabaran, kemampuan mengatasi rintangan dan merebut peluang bagi memenangkan Islam.

Misi dan visinya melingkupi dimensi diri, keluarga, masyarakat, rakyat, manusia sejagat, negara dan dunia. Visinya kemudian melintasi dunia ke akhirat sana; semoga bahagia selama-lamanya.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Sebagai ahli IKRAM, kita memikul berbagai-bagai tanggungjawab (multiple reponsibilities):

1.

Membangunkan sumber manusia sebagai barisan pelopor kebangkitan semula ummah. Mereka dipunggah daripada seluruh lapisan masyarakat Islam agar menjadi golongan ansar dan muhajirin zaman kini.
2.

Membangunkan institusi-institusi masyarakat madani, pusat-pusat kemahiran dan kecemerlangan serta agensi-agensi kemasyarakatan yang akan menabur berbagai-bagai perkhidmatan dan bakti kepada masyarakat dan rakyat.
3.

Membangunkan ummah sebagai umat contoh dalam semua aspek-aspek kehidupan agar ia mampu memimpin umat manusia dan dunia.
4.

Membangunkan sebuah negara yang maju dan makmur serta ikut terlibat memperkasa Islam sebagai arus perdana di persada dunia.

Kepada pihak pemerintah, kita ajukan permintaan agar ikut sama melaksanakan tanggungjawab di atas atau sekurang-kurangnya membuka laluan kepda usaha-usaha yang ingin kita laksanakan. Ia akan menyempurnakan kehidupan rakyat dan memperkasa negara serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara maju, kaya dengan rakyat yang boleh dicontohi oleh dunia dan masyarakat antarabangsa yang ingin membangunkan tamadun dunia yang gemilang.

Situasi buruk yang sedang dihadapi negara waktu ini dalam semua aspek kehidupan dan yang mencengkam kelangsungan kewujudan, perkembangan dan kemajuan negara sama sekali tidak boleh di biarkan dan ia sama sekali tidak akan dapat diatasi jikalau peranan Islam dan pejuang-pejuangnya dipinggirkan.

Berpaut kepada selain daripada tali Islam dan golongan Muslim yang bertakwa, jujur dan bertanggungjawab akan hanya memburukan lagi keaadaan. Ia akan membuka laluan-laluan kepada penyalahangunaan kedudukan dan kuasa, menaikkan golongan yang mengambil kesempatan, pengamalan rasuah, nepotisme, kronisme yang kesemuanya akan membawa kepada kemunduran dan keruntuhan negara. Bagi kita, pendukung Islam dan pewaris sikap tegas Muhammad s.a.w., kita tidak mempunyai pilihan, melainkan satu saja: perkasa Islam atau kita akan terkeluar dari sejarah.

Kepada kuasa-kuasa dunia yang melakukan kezaliman, peringatan yang ingin kita berikan ialah: Hentikan semua kezaliman! Terutama terhadap umat Islam. Umat Islam sepatutnya dijadikan kawan, bukan lawan. Zamanmu hampir berlalu, bintang Islam akan memancar, masa depan itu adalah milik Islam.

Firman Allah s.w.t:

لقد كتبنا فى الزبور من بعد الذكر أن الأرض يرثها عبادى الصالحون

“Dan sesungguhnya, telah kami tulis dalam (kitab) zabur, setelah tertulis di dalam al-zikr (Lauh Mahfuz) , bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.”

Al-Anbiya’ (Para Nabi) 21:105

Saudara dan saudari,

Perjalanan masa depan menuntut daripada kita semua kesediaan untuk mempersiapkan diri dengan keupayaan-keupayaan berganda, kepakaran-kepakaran dan kebijaksanaan, kerja keras, kemahiran beraksi di medan-medan terbuka, jiwa-jiwa yang yakin, pemikiran yang segar dan tubuh yang sihat yang dibekali dengan bekalan langit dan bumi.

Ia menuntut daripada kita semua ketaatan kepada Allah s.w.t., sujud kepada-Nya semata-mata selama-lamanya, pengorbanan, keikhlasan, intima’ (hubungan dengan Allah yang benar), kesatuan, kefahaman yang dalam, iman yang teguh dan amal yang berterusan.

Dalam masa yang sama, ia juga menuntut daripada kita semua kemampuan untuk mempersiapkan tanzim IKRAM dengan saf-saf kepimpinan, ulama, pemikir, fuqaha, du’at, dan aktivis di setiap tahap. Kita tidak boleh berpuas hati dengan satu saf sahaja bagi mewakili setiap kumpulan tersebut. Ini adalah harapan agar arus perdana dan gelombang besar yang ingin diwujudkan untuk melahirkan pembaharuan dan perubahan dalam negara dan sejarah dapat mengekalkan kekuatan serta terjahannya ke sasaran-sasaran yang telah direncanakan.

Insya-Allah, dengan Taufik dan Izin-Nya, menerusi usaha-usaha gigih ikhwah dan akhawat, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan selama ini, dukungan ummah dan doa yang berterusan, dukungan yang diterima daripada semua, dari dalam dan luar negara, IKRAM akan dapat diperkasa, ahli-ahlinya akan meningkat sempurna hari demi hari dan berjaya dalam melaksanakan tanggungjawab perjuangan. Moga-moga akhirnya kita berjaya menjadi golongan pilihan yang memperoleh keredhaan Allah s.w.t. dan berjaya menggapai kemenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وأن الله مع المحسنين

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnnya Allah bersama-sama orang-orang yang berbuat baik.”

Al-’Ankabut (Labah-labah) 29:69

Kita semua memiliki kelebihan, kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan serta kedudukan yang strategik dalam negara. Kita yakin IKRAM selepas ini dapat bergerak dengan selesa, memecut bertahap-tahap, mengembang, mengukuh, memuncak dengan cepat dan cekap untuk menjayakan agenda ummah dan Islam sepenuhnya.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Bingkisan yang ingin IKRAM tawarkan kepada masyarakat kita dan dunia ialah Islam sebagai al-din, sebagai way of life, sistem kehidupan yang benar, sempurna dan mulia yang akan menyempurnakan kehidupan manusia, mengangkatnya ke puncak kemuliaan dan kebahagian yang abadi di dunia dan akhirat.

Ia bingkisan dari langit, daripada Allah yang telah mencipta manusia dan alam semesta, diturunkan kepada para nabi dan disempurnakan sepenuhnya menerusi pengutusan Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasul terakhir.

Islam yang diturunkan menerusi Muhammad s.a.w. merupakan jalan kehidupan yang lurus, satu-satunya obor dan cahaya yang mampu menyuluh perjalanan manusia sepanjang kehidupannya di dunia ke destinasi bahagia yang abadi di akhirat.

Ia merupakan petunjuk sepanjang jalan, menyediakan manusia dengan bekalan-bekalan perjalanan yang diperlukan bagi membina kehidupan dan menghadapi kematian, membina manusia, negara dan tamadun yang gemilang.

Ia merupakan agama yang sempurna, nikmat yang lengkap dan jalan kehidupan tunggal yang diredhai Allah s.w.t. Selainnya adalah kesesatan, kecelakaan, kerugian dan kemurkaan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:

اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتى ورضيت لكم الاسلام دينا

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan Aku telah lengkapkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.“

Al-Ma’idah (Hidangan) 5:3

Firman-Nya lagi:

ومن يبتغ غير الاسلام دينا فلن يقبل منه وهو فى الآخرة من الخاسرن

“Dan barangsiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.”

Ali ’Imran (Keluarga Imran) 3:85)

Saudara-saudari yang dikasihi,



Bagaimanakah bingkisan Islam itu sepatutnya disampaikan?

Ia perlulah disampaikan dengan hikmah, menerusi nasihat yang baik dan dialog yang terbaik, menerusi penghujahan dan penampilan contoh, menerusi perbicaraan lidah dan perbicaran realiti, dengan suara yang lunak, memujuk, meyakinkan kebenaran Islam sebagai petujuk sepanjang perjalanan kehidupan.

Allah telah berfirman:

ادع الى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتى هى أحسن

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”

Al-Nahl (Lebah) 16:125

Firman-Nya lagi:

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لأنفضوا من حولك

“Maka dengan berkat rahmah daripada Allah, kamu (Muhammad) telah berlembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar dan keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu.“

Ali ’Imran (Keluarga Imran) 3:159

Sabda Rasulullah s.a.w.:

ان الدين متين فأوغله برفق فان المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى

“Sesungguhnya agama (Islam) itu (sesuatu yang) teguh, selinapkanlah ia dengan lembut, sesungguhnya seseorang yang memacu laju tunggangannya tidak akan dapat merentasi jarak perjalanan dan mengekalkan tunggangannya.“ (Dia tidak akan sampai ke destinasinya dan tunggangannya akan mati).

(Hadis 12579 diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Musnad Imam Ahmad bin Hambal, dan ditambah daripada riwayat-riwayat yang lain).

Islam adalah satu amanah dan perutusan yang amat berat. Langit dan bumi enggan dan gerun untuk memikulnya. Golongan yang mampu memikul dan menyampaikannya dengan penuh amanah ialah golongan yang terasuh dengan asuhan nubuwah, golongan rabbaniyun yang diasuh menerusi siraman wahyu dan sinaran nur Ilahi, golongan yang sentiasa hidup dengan kalamullah dan sentuhan bimbingan-Nya, dibekali perasaan takwa dan bukti-bukti keterangan daripada Quran-Nya.

Lantaran itu, bingkisan Islam kepada manusia dan dunia perlu disampaikan dengan cara yang bersesuaian, dengan penuh kebijaksanaan, kemesraan, cermat, bertahap-tahap, diiringi doa dan munajat kepada Allah yang mengurniakan petunjuk kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya agar penerimaan bertambah meluas dan golongan-golongan yang sujud kepada-Nya bertambah ramai.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Agenda IKRAM, saya ulang sekali lagi, ialah untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan, merubah perjalanan sejarah, merubah realiti sedia ada kepada realiti penguasaan Islam kembali. Ummah menjadi ummah yang terbaik, negara menjadi negara termaju dan makmur, dunia menjadi aman dan sejahtera, tamadun Islam kembali gemilang.

Ia hanya boleh dijayakan menerusi usaha-usaha bersepadu yang dipacu bersama seluruh pejuang Islam di semua bahagian dunia. Ia menuntut usaha-usaha pengislaman kehidupan peribadi, masyarakat, ummah dan rakyat sesebuah negara, pengislaman menyeluruh semua institusi di dalam negara dan sistem-sistem yang berkuatkuasa di dalamnya.

Untuk menjayakannya, ahli-ahli IKRAM perlu terlebih dahulu menegakkan Islam yang sempurna dalam diri dan kehidupan mereka. Mereka mestilah menjadikan diri dan organisasi mereka sebagai contoh kepada pengamalan Islam yang sempurna, Islam yang bergerak di medan, Islam yang hidup dan dinamik, yang menggerakkan perubahan dan membawa kemajuan, Islam yang memberikan respons terbaik kepada perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku dalam kehidupan masyarakat manusia, ummah, negara dan dunia.

Ummah pula perlu diajak kembali menghayati Islam yang sebenar, menerusi usaha-usaha pengislaman masyarakat, pengislaman kehidupan rakyat dan perjalanan negara. Dengan demikian ummah akan dapat memenangi kembali kedudukan yang sepatutnya ia kecapi, sebagai sebaik-baik umat yang mampu berperanan memimpin manusia sejagat dan dunia.

Itulah janji Allah kepada umat Islam dan satu kebenaran yang penah dinyatakan oleh Rasullullah s.a.w. dan dibuktikan oleh sejarah kehidupan ummah sendiri, iaitu sewaktu ummah kembali menjiwai Islam, sejarahnya kembali gemilang.

Firman Allah s.w.t.:

ياأيها الدين آمنوا ان تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu memenangkan Allah, Dia akan memenangkan kamu serta memperteguh kedudukan-kedudukan kamu.”

Muhammad 47:7

Begitu juga ucapan Rasulullah s.a.w. kepada pembesar-pembesar Quraisy di hadapan Abu Talib ketika dia hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, sebagai ucapan balasnya kepada permintaan Abu Talib, “Wahai anak saudaraku! Mereka ini pembesar-pembesar kaummu yang telah berkumpul untuk menawari kamu dan menerima daripada kamu (tawar-menawar)”, lalu Rasullullah menjawab:

نعم كلمة واحدة تعطونيها تملكون بها العرب وتدين لكم بها العجم

“Benar, satu kalimah (ucapan) yang kalau mereka berikan (ucapkan), dengannya mereka akan menguasai orang-orang Arab dan orang-orang selain Arab (’Ajam) akan tunduk kepada mereka.“
(Sirah Nabi, tulisan Ibnu Hisham yang dijelaskan oleh Syeikh-syeikh Mustafa al-Saqa, Ibrahim al-Abyari dan Abdul Hafiz al-Shalabi, Jilid 1, Juzu’ 2, ms. 45).

Benar, hanya apabila ummah mengumandangkan kembali (beriman dengan) kalimah al-tauhid (al-shahadatain) mereka akan kembali memerintah dunia.

Ucapan Imam Malik:

لا يصلح آخر هذه الأمة الا بما صلح أولها

“Golongan terakhir ummah ini tidak akan bertambah baik melainkan menerusi apa yang telah membaiki golongan ummah yang awal.”

Inilah sebahagian daripada cabaran-cabaran besar yang mendepani usaha-usaha IKRAM dan organisasi-organisasi seumpamanya yang ingin mengislamisasi sesebuah negara dan dunia. Ia menuntut kefahaman yang tepat terhadap proses mewujudkan perubahan, persiapan yang perlu dibuat, kepakaran-kepakaran yang perlu ada dalam berbagai-bagai bidang, kebijaksanaan dalam membuat keputusan atau membangunkan polisi-polisi yang diperlukan bagi menjamin kejayaan, kemantapan dan kelangsungannya.

Saudara-saudari, ikhwah dan akhawat serta seluruh tetamu yang dikasihi,

Allah tetap akan memenangkan Agama-Nya sama ada menerusi kita atau menerusi orang lain. Allah akan menggantikan penguasaan golongan yang kufur, zalim dan yang membuat kerosakan dengan golongan yang beriman dan bertakwa, yang menabur bakti dan kebaikan, dan yang menegakkan keadilan.

Perjuangan Islam itu sendiri bermula lemah, kecil, terpinggir serta berhadapan dengan ranjau sepanjang perjalanan. Tetapi musim tidak selama-lamanya kemarau, awan tidak selama-lamanya mendung, hari tidak selama-lamanya gelap. Cahaya Islam pasti akan memancar, menerangi alam semesta dengan nurnya, menyuluhi dunia dengan hidayat dan rahmatnya.

Dunia tidak selama-lamanya dikuasai kuasa dunia yang angkuh, zalim, rakus, manusia yang sesat, tidak bertamadun, dan yang menyembah taghut dan nafsu. Kekuasaan di dunia akhirnya akan bertukar tangan kepada hamba-hamba Allah yang mulia, berbudi bahasa, sedar diri, ingat asal-usul serta mengetahui ke mana dirinya akan pulang untuk selama-lamanya.

Letaklah diri kita dalam kumpulan golongan yang baik-baik dan hamba-hamba Allah yang mulia, yang sepanjang hidupnya menabur bakti, hanya sujud kepada Allah Yang Esa, memohon agar umat disatukan, Islam dimenangkan, rahmat dan pengampunan diturunkan.

Pertarungan antara ummah dan musuh-musuhnya dewasa ini menampakkan petanda-petanda ummah akan dapat mengatasi mereka. Serangan mereka semakin tumpul. Keupayaan ummah menangkis dan membalas serangan mereka semakin meningkat, keberanian berkorban nyawa semakin berkembang. Fokus musuh sudah beralih kepada mengatasi krisis-krisis dalaman yang sedang menghantui kehidupan mereka. Krisis kewangan yang melanda mereka telah memaksa mereka memotong peruntukan belanjawan ketenteraan mereka dengan ketara.

Kini kelihatan meningkatnya pengaruh umat Islam di Eropah dan Amerika Syarikat. Wujud tekanan masyarakat antarabangsa terhadap tindak-tanduk sebahagian kerajaan Eropah (anggota NATO) dan Amerika Syarikat yang menceroboh bahagian-bahagian tertentu alam Islam seperti Iraq dan Afghanistan. Kekejaman Israel di Palestin dan secara khusus kepungannya terhadap semenanjung Gaza ini semakin mengubah persepsi dunia terhadap Islam. Barat mula menyedari kepentingan untuk mereka menjalin kerjasama dengan umat Islam, dan bukan memusuhinya. Mereka kini kian bimbang terutamanya jikalau umat Islam di seluruh dunia dapat disatukan.

Inisiatif perjuangan sedang berpindah ke tangan ummah dan golongan yang setia kepada Islam seperti HAMAS di bumi Palestin dan Ikhwan Muslimin di bumi Arab. Kebangkitan semula umat Islam di Turki menerusi kepimpinan AKP dan Recep Tayyep Erdogan memberikan suntikan semangat baru kepada barisan ummah yang berjuang.

Contoh terbaru adalah tatkala berlakunya serangan komando Israel terhadap flotila (konvoi kapal) yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza baru-baru ini. Lihatlah respons atau tindak balas masyarakat antarabangsa. Kemarahan dan tunjuk perasaan jutaan manusia di seluruh dunia memuncak. Tekanan terhadap Israel daripada pelbagai NGO dan golongan aktivis hak asasi manusia, kerajaan-kerajaan di dunia (terutamanya di alam Islam dan Eropah), Majlis Keselamatan PBB dan Setiausaha Agung PBB begitu ketara sekali.

Semua petanda awal tersebut dengan izin Allah s.w.t. akan berakhir dengan khabar gembira - kemenangan Islam dan kekalahan musuh. Allah akan memulangkan tipu daya mereka selama ini sehingga menjerat diri mereka kembali.

Firman Allah s.w.t.:



ويمكرون ويمكر الله والله خير الماكرين

“Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu; Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.”

Al-Anfal (Hidangan) 8:30

Firman-Nya lagi:

انهم يكيدون كيدا وأكيد كيدا فمهل الكافرين أمهلهم رويدا

“Sungguh, mereka (orang kafir) merencanakan tipu daya yang jahat, dan Aku pun membuat rencana (tipu daya) yang jitu, sebab itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir, berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu.”

Al-Tariq (Yang datang pada malam hari) 86:15-17

Akhirnya, marilah kita semua mempersiapkan diri! Semua agensi dan institusi IKRAM, dan organisasi IKRAM sendiri mestilah bersedia dengan sebaik-baik persiapan agar kita menjadi yang terbaik, golongan pilihan pada zaman kita, ansar Allah s.w.t., golongan al-Hawariyun. Insya-Allah menerusi merekalah Allah s.w.t akan memenangkan agama-Nya; ke atas golongan inilah Allah menurunkan keberkatan, futuhat yang melimpah ruah dan keredhaan yang berkekalan.

Sekian saja dahulu, saya mengakhiri ucapan ini dengan memohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua yang hadir sebagai tetamu, peserta atau pemerhati, juga yang tiada dalam majlis ini. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan perhimpunan kita ini agar berjaya dan dicucuri Allah dengan Taufik dan Rahmat-Nya. Dan salam takzim sebagai penutup ucapan ini untuk semua.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim
Sama-samalah kita lancarkan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

www.ikram.org.my

Followers

About Me

My photo
Saya seorang guru yang sangat meminati bidang perikanan dan sukakan laut.