Ayat 246
-251 surah al-Baqarah mengisahkan satu kaum Bani Israil yang diceritakan
oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, untuk dijadikan iktibar oleh
umatnya. Untuk lebih jelas, kisah ini dibawakan sekadarnya mengikut
catatan para mufassirin, diantaranya daripada al-Khazin.
Kisah ini
mula diceritakan selepas Nabi Musa AS wafat meninggalkan kaumnya iaitu
Bani Israil. Orang yang menggantikannya untuk meneruskan syariat Allah
yang berpandukan kitab Taurat ialah Yusyak bin Nun.
Dialah
khalifah Nabi Musa yang pertama, yang kemudian digantikan pula oleh
Kalib in Yuqana sebagai khalifah kedua dan kemudian digantikan pula oleh
Hizqil bin Buza sebagai khalifah ketiga.
Setelah
beberapa lama Hizqil bin Buza meninggal dunia, Bani Israil mula
melupakan agamanya sehingga ada di antara mereka yang bertukar menyembah
berhala-berhala. Kemudian Allah mengutus Ilyas kepada mereka.
Ilyas adalah
seorang Nabi dan Rasul yang ditugaskan seperti lain-lain Nabi keturunan
kaum Bani Israil, supaya mengingatkan kaumnya yang telah melupakan
agama yang dibawa oleh Nabi Musa dahulu dan menyuruh mereka mengamalkan
semula syariat tersebut.
Kemudian
diutus pula Ilyasak, yang juga seorang Nabi dan Rasul. Ia meneruskan
syariat Nabi Musa beberapa lama sehingga meninggal dunia.
Demikianlah
sehingga beberapa lama sepeninggalan Nabi Ilyasak ini manusia telah
berbalik semula kepada berbuat bermacam-macam kejahatan dan meninggalkan
agama mereka.
Pada masa
itulah timbul satu kaum yang menjadi musuh kepada Bani Israil yang
menjajah dan menindas mereka. Musuh itu dikatakan bernama Balthatha, diketuai oleh seorang raja bernama Jalut.
Mereka
mendiami tempat yang berdekatan dengan kawasan pantai jajahan Rum, yang
terletak di antara Palestin dengan Mesir. Mereka itu juga dikatakan
berasal daripada kaum Amaliqah – kaum yang terhitung tua daripada bangsa
Arab.
Banyak
kawasan negeri Bani Israil yang mereka takluki, anak pinak yang mereka
perhambakan dan anak-anak raja yang ditawan. Mereka dikenakan ufti dan
cukai, Taurat dirampas sehingga menyebabkan bencana dan kesengsaraan
yang amat sangat.
Keadaan
demikian berlaku kerana telah lama tidak ada nabi yang diutus seperti
yang sudah-sudah. Biasanya seorang Nabi yang akan muncul daripada kaum
Bani Israil mestilah berketurunan Nabi pula. Baka-baka yang akan
menurunkan Nabi ini telah ramai yang mati.
Hal ini menyebabkan lama tidak dibangkitkan Nabi yang dapat memimpin dan membela mereka daripada kekejaman dan penindasan musuh.
Maka
ditakdirkan Allah, ada seorang sahaja yang berketurunan Nabi – itu pun
perempuan pula orangnya - lalu mereka jaga dan pelihara baik-baik.
Sampailah masanya perempuan ini mengandung, dia dikurniakan seorang anak
lelaki yang kemudiannya dinamakan Syamwil.
Kanak-kanak
ini telah dididik dan dibesarkan oleh seorang pendita yang alim dan
diajarkannya syariat Nabi Musa serta kitab Taurat, yang akhirnya Allah
mengutus Jibril kepadanya untuk melantiknya menjadi Nabi dan menyuruh
supaya kaumnya menyembah Allah.
Syamwil
telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah, tetapi kaumnya itu telah
mendustakannya dan mencabarnya supaya ia dapat menunjukkan bukti
kenabiannya lalu mereka berkata :
“Utuslah seorang raja untuk kami, supaya kami boleh berperang di jalan Allah” (ayat 246)
Kata-kata
mereka meminta bukti atas kenabian Syamwil dengan meminta kepadanya
supaya mengadakan seorang raja bagi mereka ini, kerana sebagaimana yang
telah diketahui bahawa Bani Israil dewasa itu sedang ditimpa malapetaka,
ditindas dan diperkosa oleh musuh yang menyebabkan mereka berpendapat
perlu beraja atau ketua yang akan memimpin umat mereka.
Manakala
Nabi Syamwil mendengar cabaran kaumnya meminta kepada Allah supaya
mengadakan bagi mereka seorang raja, Nabi Syamwil pun berkata :
“Boleh jadi jika diwajibkan ke atas kamu berperang, kamu tidak mahu berperang” (ayat 246)
Nabi Syamwil
menyindir kaumnya, bahawa dalam perang itu boleh jadi mereka bersifat
pengecut lalu melarikan diri meninggalkan medan perang.
Mereka menjawab :
“Mengapa
pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah
diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” (ayat 246)
Mereka
menceritakan bagaimana kejamnya raja Jalut dan kaumnya yang telah
menghalau mereka keluar dari rumah, menawan dan memperhambakan anak-anak
raja mereka. Jadi, sudah semestinya mereka akan berperang dan menuntut
bela.
Hanya
syaratnya, hendaklah mereka beraja dan dengan itu barulah mereka percaya
akan kenabian Syamwil. Tetapi Allah SWT telah menempelak pengakuan
mereka :
“Maka
apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan
kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”. (ayat 246)
Nabi Syamwil
memohon kepada Allah SWT supaya mereka dikurniakan seorang raja. Allah
SWT mewahyukan bahawa raja mereka bernama Talut. Nabi Syamwil telah
membawa Talut ke hadapan pembesar Bani Israil untuk mengisytiharkan
perajaannya, lalu berkata :
”Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu”. (ayat 247)
Mereka
tertanya-tanya, bagaimana Talut boleh menjadi raja, setahu mereka setiap
Nabi Bani Israil tidak akan dibangkitkan melainkan mestilah keturunan
Lawi bin Yaakub dan setiap raja Bani Israil tidak akan dinagkitkan
melainkan daripada keturunan Yahuza bin Yaakub.
Lawi dan
Yahuza dua rumpun anak Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim yang menjadi
sumber kemegahan Bani Israil. Daripada rumpun Lawi, terbitlah Nabi Musa
dan Nabi Harun AS. Daripada rumpun Yahuza, terbitlah Nabi Daud dan Nabi
Sulaiman AS yang menjadi raja besar Bani Israil disamping menjadi Nabi.
Tetapi Talut
ini tidaklah lahir daripada kedua-dua rumpun tadi bahkan beliau adalah
keturunan Bunyamin bin Yaakub. Berdasarkan adat dan tradisi lama inilah
mereka menolak Talut untuk menjadi raja mereka. Kata mereka :
“Bagaimana
dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih menjadi raja
daripadanya, dan ia pula tidak diberi harta kekayaan yang banyak?” (ayat 247)
Dengan
kenyataan ini, jelaslah bahawa merek masih mengagung-agungkan keturunan
dan kekayaan harta benda untuk melayakkan diri menjadi seorang raja.
Maka
berdasarkan pendapat dan kebiasaan kaum Bani Israil ini, masih ramai
yang terpengaruh dan berpegang dengan adat lama bahawa jawatan pimpinan,
ketua negara, atau raja yang memerintah adalah merupakan warisan turun
temurun yang tidak boleh diwarisi oleh orang lain.
Pendapat sebegini disangkal oleh Allah SWT :
Nabi
mereka berkata : “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi
raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dengan ilmu pengetahuan
dan tubuh badan yang kuat”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan
kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha
Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (ayat 247)
Ertinya
Allah SWT memilih Talut sebagai raja mereka bukanlah sesuatu yang
sia-sia, bukan atas dasar keturunan atau kekayaan tetapi di atas
kekuasaan dan kehendak Allah SWT dengan kurnia ilmu dan kekuatan tubuh
badan yang dimiliki oleh Talut.
TalutDiceritakan bahawa Talut itu nama gelaran dalam bahasa Ibrani kerana susuk tubuhnya yang besar dan tinggi. Dialah di antara orang yang paling tinggi pada zamannya menurut ukuran kepala dan bahunya.Nama Talut yang sebenar ialah Sawal bin Qais dari rumpun Bunyamin bin Yaakub. Kerjanya menyamak kulit binatang dan ada riwayat lain mengatakan ia sebagai tukang air yang memberi minum keldai.Pada suatu hari keldai kepunyaan ayahnya hilang tersesat dan Talut pergi mencarinya. Ia lalu di hadapan rumah Nabi Syamwil untuk bertanyakan sekiranya Nabi itu tahu akan hal keldainya.Sedang ia berada di rumah tersebut, tiba-tiba mendidihlah minyak yang tersimpan di sebuah tanduk binatang yang sentiasa diperhatikan oleh Nabi Syamwil setiap kali ada orang masuk ke rumahnya.Ini kerana ketika Allah mewahyukan kepadanya tentang orang yang bakal menjadi raja, Nabi Syamwil telah dibekalkan dengan sebatang tongkat dan sebuah tanduk berisi minyak. Sekiranya ada orang yang masuk ke dalam rumahnya dan didapati minyak itu mendidih, itu adalah isyarat bahawa yang masuk itu ialah orang yang dijanjikan sebagai bakal raja.Apabila Nabi Syamwil melihat minyak yang di dalam tanduk itu menggelegak, lalu diambilnya tongkatnya kemudian diukur dan didapati sama tinggi dengan Talut.Yakinlah Nabi Syamwil bahawa Talut inilah orang yang bakal menjadi raja setelah melihat kebenaran tandanya. Lalu minyak itu pun disapukan ke kepala Talut dan diangkat menjadi raja Bani Israil di hadapan khalayak ramai.Inilah Talut, raja yang dilantik dengan kehendak Allah SWT yang berasal daripada tukang menyamak kulit atau tukang air yang memberi minum kepada keldai. Bukanlah ia daripada keturunan raja-raja dan bukan pula daripada golongan orang kaya atau berharta.Allah SWT hanya mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan, kepintaran dalam pemerintahan dan muslihat peperangan, dan mengurniakan pula kepadanya tubuh yang sasa, besar, tinggi dan penuh dengan kekuatan.Allah SWT mengurniakan kerajaanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Bani Israil
kemudiannya bergegas hendak berperang melawan musuh. Mereka terdiri
daripada 70 ribu askar diketuai oleh Talut sendiri. Mereka melalui
padang yang panas terik dan tidak berair.
Mereka
gelisah bagaimana boleh menentang musuh dalam keadaan mereka kehausan
dan kekurangan air. Mereka merayu agar raja mereka memohon air kepada
Allah SWT.
“Bahawasanya
Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya
maka ia bukanlah daripadaKu, dan sesiapa yang tidak meminumnya
sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan
tangannya. (ayat 249)
Apabila
amaran ini telah diberikan kepada askarnya, bertemulah mereka dengan
sebatang sungai – iaitu Sungai Palestin. Amaran ini menjadi ujian adakah
mereka sebagai tentera mempunyai tatatertib, patuh kepada arahan dan
pimpinan atau tidak.
“Maka mereka pun meminum air sungai itu kecuali sedikit sahaja daripada mereka yang tidak minum atau meminum secedok sahaja”. (ayat 249)
Diriwayatkan
bilangan tentera Bani Israil yang melanggar arahan dengan meminum air
sungai itu sangat ramai. Antara 70 ribu itu, hanya tinggal sekitar tiga
ratus orang sahaja yang taat perintah ketua iaitu mereka yang beriman
yang patuh kepada ketua.
Orang yang
meminum hanya secedok, hilanglah haus mereka. Binatang tunggangan mereka
juga cergas dan mereka dapat menyeberangi sungai untuk meneruskan
perjuangan.
Sementara yang banyak minum semakin lemah, pucat dan kecut hati sehingga tidak berani untuk berperang.